Salam Hijrah... Semoga esok lebih baik dari hari inidan hari ini lebih baik dari hari-hari yang telah berlalu.. Doakan agar penghijrahan kita mendapat redha Yang Maha Esa.. Amin...
Esok da balik kampus.. Mesti susah nak edit blog ni.. Will miz ya all!!
Ni ada sikit tatapan rencana sempena Tahun Baru Hijrah yang aku petik dari abunuha.wordpress.com Semoga ia menjadi iktibar kepada sahabat semua...
Masa sentiasa berjalan. Semakin hari, masa untuk ke hari kiamat semakin dekat. Umur kita semakin panjang, tetapi tempoh hidup di dunia semakin singkat.
Sepuluh tahun, 20 tahun atau 30 tahun lalu, kita mungkin masih belajar di bangku sekolah atau menara gading, atau masih bujang atau baru kahwin. Kini kita mungkin berada di puncak kerjaya, dan punya keluarga dan anak-anak.
Dulu, rumah kita mungkin di setinggan atau rumah kampung tanpa bekalan elektrik. Kini rumah kita lebih baik dari segi materinya. Bukan sahaja bekalan elektrik, bahkan sudah punya Astro, penghawa dingin, tv plasma, laptop dan bekalan streamyx.
Dulu, kita mandi dan buang air dengan air telaga atau sungai yang dikatakan kotor dan kabut, jauh berjalan ke dalam kampung. Kini tandas dan bilik air sudah di tepi bilik tidur, lengkap dengan tab mandi, punya pilihan air panas dan sejuk. Sesetengahnya punya kolam mandi dan kolam renang lagi.
Dulu, untuk berhubungan dengan orang kena guna surat. Entah sampai atau tidak. Menunggu balasannya pun memakan masa. Kini hanya dengan telefon bimbit. Perkembangan zaman kini lengkap dengan SMS, MMS, 3G, emel dan sebagainya.
Dulu, kita makan hanya dengan berlaukkan ikan masin, berkuahkan kicap. Susahnya hendak makan ayam atau daging. Kalau adapun ketika hari raya atau daging qurban yang diperolehi. Kini sudah malas hendak makan nasi, asyik dengan KFC, Mc D, Pizza Hut atau Burger King. Koman-koman pun, nasi berlaukkan sosej dan nugget.
Dulu, untuk bergerak kita mungkin hanya naik bas atau hanya punya sebuah motorsikal. Azabnya menunggu bas berjam-jam lamanya. Perhubungan jalanraya juga sangat teruk. Kini kedudukan lebih baik dengan sebuah kereta Proton Saga Baru, ataupun MyVi, setidak-tidaknya pun kereta kancil secondhand sementara jaringan jalanraya sangat mudah untuk bergerak ke mana-mana.
Pendek kata, kita beranggapan kehidupan kita lebih baik dari segi materi dan maddiahnya berbanding beberapa ketika dahulu.
Tetapi cukupkah kita berhijrah hanya dari segi rumah, bilik air, makan dan minum, telefon serta kenderaan? Bagaimana dengan yang ini, sebagai contoh ….
1. Solat. Bandingkan solat yang kita buat sekarang dengan solat 15-20 tahun lalu. Adakah bertambah, berkurang atau sama banyak? Semakin khusyuk, atau semakin lalai?
2. Masjid. Datang setiap waktu, atau sehari sekali, atau seminggu sekali, atau sebulan atau setahun dua kali? Atau hadir hanya apabila dijemput bersurat? Atau menjadi pecinta masjid yang setia, hanya menjadi jamaah tetap atau pendukung aktif aktiviti masjid?
3. Al-Quran. Adakah termasuk jenis orang yang suka membaca setiap hari dan rasa kehilangan apabila tidak berdamping dengannya, atau baca sekali sekala apabila susah hati dan ditimpa musibah, atau baca apabila ada ahli keluarga yang meninggal dunia, atau memang jenis nda pandai baca al-Quran? Adakah kita berusaha untuk memperbaiki bacaan dan menambah kefahaman terhadap isi kandungannya?
4. Sedekah. Termasuk orang yang ringan untuk menghulurkan derma dan sedekah sama ada kepada masjid, surau, anak yatim, fakir miskin, pelajar, ahli musibah atau liat hendak bersedekah? Suka membelanja kawan atau selesa dibelanja?
5. Aurat. Adakah kita jenis suka memilih waktu membuka dan menutup aurat menurut sesuka hati kita? Tutup aurat apabila ke masjid atau kenduri, dan berseluar pendek apabila bersukan dan ke pasar? Pakai tudung apabila kenduri kesyukuran atau kematian, tetapi buka tudung ke majlis perkahwinan dan tupperware? Atau memang jenis suka tayang aurat?
6. Zakat. Adakah kita orang yang memberi komitmen dalam soal zakat harta? Atau hanya bagi sikit-sikit? Atau tak peduli langsung? Atau kita lebih rela bagi derma kepada NGO yang mungkar dan pro Yahudi?
7. Haji. Adakah kita sudah menunaikan rukun Islam kelima ini? Atau hanya mampu mengatakan tidak mampu atau sebenarnya lebih mengutamakan perjalanan ke Los Angeles, Las Vegas, Paris, Bali, Tokyo, berbanding Makkah dan Madinah? Atau kita asyik berlapikkan alasan belum sampai seru?
Hijrahlah selagi masa dan kesempatan masih ada. Buatlah kebaikan dan tinggalkanlah kejahatan sehabis usaha dan daya kita. Jika kebaikan itu sudah kita lakukan, tambahlah, dan tambahlah lagi dari sudut kualiti dan kuantitinya.
Lakukanlah muhasabah sementara Dia memberi ruang kita untuk melakukannya, sebelum nyawa berpisah dari badan. Berhijrahlah.
Semoga Allah memberi kita kekuatan.
0 comments:
Post a Comment